Thursday, January 9, 2014

Panduan Lengkap Menghasilkan Roket Air Mudah


Ujian penerbangan roket air mudah






Setelah anda menyaksikan penerbangan roket air sebagaimana yang ditunjukkan di dalam video di atas, berikut merupakan panduan lengkap bagi menghasilkan roket air tersebut. Panduan ini akan menerangkan secara terperinci langkah demi langkah yang anda perlu lakukan. Oleh yang demikian, anda dinasihati agar menyediakan bahan-bahan yang sama sekiranya anda hendak menghasilkan roket air yang serupa sebagaimana yang ditunjukkan.

Di antara bahan-bahan penting yang perlu anda sediakan adalah:
1. Dua buah botol air mineral berjenama “Bleu”



2. Kertas lut sinar (Pastikan tebal)



3. Plastisin



Setelah anda menyediakan tiga bahan keperluan penting di atas, berikut merupakan senarai peralatan yang anda perlukan.
1. Pembaris besi
2. Gunting
3. Pisau
4. Double tape




Sekarang kita akan mulakan langkah demi langkah dalam menghasilkan roket air


Langkah 1: Membuat Sayap Roket

i. Dengan menggunakan kertas lut sinar, hasilkan sekeping bentuk segi tiga bersudut tegak dengan dimensi panjang 16 cm dan lebar 4 cm.



ii. Kemudian, hasilkan pula sekeping bentuk segi empat tepat dengan dimensi panjang 16 cm dan lebar 2 cm.



iii. Di atas sekeping segi empat tersebut, hasilkan satu garisan yang merentasi  bahagian tengah permukaannya dengan menggunakan pisau dan pembaris besi. Lihat gambar di bawah!

PERHATIAN: Anda dikehendaki untuk menghasilkan satu garisan sahaja bukannya memotongnya. Oleh sebab itu, anda perlu mengenakan daya yang tidak terlalu kuat ketika menghasilkan garisan tersebut bagi mengelakkan ia terputus.
Sekiranya anda masih tidak dapat memahami, cuba baca langkah ke-iv di bawah. Ia akan menerangkan tujuan melakukan langkah ke-iii ini.



iv. Setelah anda menghasilkan garisan tersebut, terbalikkan kepingan tersebut (bahagian yang digoreskan berada pada bahagian bawah). Kemudian lipatkan salah satu bahagian menegak ke atas sehingga menghasilkan huruf L dari pandangan sisi seperti dalam rajah di bawah.



v. Lekatkan double tape,



vi. Seterusnya cantumkannya dengan kepingan yang berbentuk segi tiga yang telah dihasilkan sebelum ini dengan teliti.



vii. Ulangi langkah ke-ii hingga v bagi melengkapkan struktur yang terdapat pada langkah ke-vi di atas.



viii. Gunting bahagian hadapan sayap roket bagi menghasilkan muncung yang tajam.





ix. Sehingga langkah ke-viii, anda telah berjaya menghasilkan satu sayap roket. Sekarang ulangi langkah-langkah yang sama bagi menghasilkan 4 buah sayap roket.




Langkah 2: Mencantumkan Sayap Roket Pada Badan Roket

Langkah ini memerlukan sedikit ketelitian anda di mana anda dikehendaki untuk mencantumkan sayap roket yang anda telah hasilkan pada badan roket. Anda kena pastikan sayap tersebut tercantum pada keadaan selari dengan badan roket.

Mula-mula, gunting lebih kurang 10 cm double tape dan lekatkannya pada bahagian sayap seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.



Kemudian cantumkannya pada badan roket.

PERHATIAN: pastikan anda mencantumkan sayap roket dengan muncung tajamnya berada pada bahagian seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah iaitu berhampiran parit yang terdapat botol.



Kemudian dengan berhati-hati, ulangi semula langkah-langkah di atas bagi cantumkan pula tiga buah sayap roket yang lain. Pastikan orientasi kesemuanya selari dengan badan roket.









Langkah 3: Menghasilkan Kepala Roket

Sekarang ambil botol yang kedua dan guntingkan pada bahagian seperti yang ditunjukkan oleh anak panah dalam gambar di bawah.

PERHATIAN: Anda perlu mengguntingkan  di sepanjang dasar parit yang terdapat pada botol.





Seterusnya timbangkan 500 gram plastisin.





Kemudian masukkan plastisin tersebut ke dalam bahagian botol yang di guntingkan tadi.




Langkah 4: Mencantumkan Kepala Roket Dengan Badan Roket

Sekarang kita akan mencantumkan kepala roket yang anda baru sahaja hasilkan dengan badan roket seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Sekiranya anda dapat perhatikan pada gambar seperti yang ditandakan oleh anak panah, terdapat kesan guntingnya sedikit pada kepala roket. Ia bertujuan memudahkan anda untuk memasukkan kepala roket tersebut pada bahagian hujung badan roket. Gunting sedikit sahaja bagi memastikan percantuman itu berlaku dalam keadaan yang tidak terlalu longgar. Anda perlu melakukan dua guntingan.

PERHATIAN: Pastikan parit yang terdapat pada kepala roket bercantum dengan parit yang terdapat pada badan roket. Anda mungkin perlu menggunakan sedikit paksaan. Sekiranya anda dapat melakukannya dengan baik, anda tidak perlu meletakkan gam pada sambungan tersebut. Disebabkan ia telah bercantum dengan ketat.



Anda dinasihati untuk tidak meletakkan gam seperti salotap sebagai contohnya agar memudahkan anda menanggalkan nya kembali. Hal ini penting bagi membetulkan semula keadaan roket air yang mungkin mengalami sedikit kesan kemik akibat pendaratan yang tidak sempurna selepas penerbangannya.



Tahniah anda kini telah berjaya menghasilkan sendiri roket air mudah anda sendiri.



Roket Air Mudah



Langkah 5: Melancarkan Roket

Kini tiba masanya untuk melancarkan roket air. Jadi apa yang anda perlukan adalah sebuah pelancar roket.

Bagi meningkatkan mutu roket air mudah anda, anda digalakkan untuk menambahkan aksesori padanya sebagai contohnya dengan meletakkan muncung yang tajam pada bahagian hadapannya. Anda juga boleh mengenakan spray berwarna padanya di samping menampalkan pelbagai stiker bagi menjadikannya bertambah menarik dan sedap dipandang mata.

Video yang kami kongsikan di bawah ini, berupa pertandingan beberapa contoh roket air mudah dengan aksesori-aksesori tambahan. Seperti yang anda akan saksikan, aktiviti-aktiviti seperti menghasilkan roket air terbaik ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama tetangga mahupun rakan-rakan atau keluarga.




Kriteria pertandingan di atas:
1. Tekanan          : 4 bar
2. Kuantiti air      : 500 ml
3. Sasaran           : Lingkungan 100 meter



Sekiranya anda mengalami kesulitan untuk mendapatkan pelancar roket air, anda boleh mendapatkannya sendiri daripada saya di talian 011 3203 5424 (sms sahaja#Harga RM80#Tidak termasuk kos penghantaran) atau kunjungilah laman blog di http://alexazizkhan.blogspot.com/2014/03/roket-air-pelancar-roket-air-sasaran.html.

Selamat mencuba….